KISAH 'panas' tentang aktres popular ini nampaknya tidak pernah berakhir, terutamanya mengenai kisah cintanya. Macam-macam cerita tentang Fasha Sandha sering diperkatakan, namun aktres berusia 25 tahun ini cukup 'kuat' mengharungi segala cabaran yang singgah.
Setelah membuat pendedahan dirinya akan mengakhiri zaman solo selewat-lewatnya awal tahun depan dengan seorang jejaka, ramai yang menjangkakan lelaki yang akan bergelar suaminya itu ialah Rizal Ashram Ramli.
Walaupun Fasha sendiri menafikan tentang hubungannya dengan bekas suami Nora Danish itu, namun 'keintiman' yang sering dipamerkan mereka di khalayak membuatkan ramai yang yakin Rizal adalah 'pilihan' Fasha.
Namun, minggu lalu, sebuah akhbar tabloid melaporkan pendedahan ekuin negara terkenal yang mengesahkan tentang hubungannya dengan aktres itu yang terjalin sejak setahun lalu.
Ekuin negara yang tidak mahu namanya didedahkan itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut tentang hubungan mereka dan berkata dia akan membuat satu pengumuman pada bulan hadapan.
Akhbar tersebut turut mendapatkan maklumbalas daripada Fasha sendiri dan pelakon jelita itu tidak menafikan, jejaka berusia 29 tahun itu adalah lelaki yang paling rapat dengannya.
"Bukan saya sengaja merahsiakan hubungan dengannya, cuma saya tidak boleh memberitahu kepada peminat kerana masanya belum sesuai.
"Tapi, saya tidak akan menolak jika kami ditakdirkan bertemu jodoh bila tiba masanya nanti. Kita hanya mampu merancang, tetapi Tuhan yang akan menentukannya segala-galanya," katanya.
Pendedahan itu sedikit sebanyak meleraikan beberapa teka-teki yang bermain di fikiran ramai termasuklah siapa lelaki yang berjaya mencuri hatinya itu . Namun, masih ada yang tidak berpuas hati dan merasakan Fasha sebenarnya masih terus 'bermain wayang'.
Malah, kewujudan ekuin negara itu di dalam hidup Fasha juga tidak disedari ramai memandangkan gosip yang sering melanda dirinya sebelum ini lebih berkisarkan tentang hubungannya dengan Rizal.
Enggan membiarkan spekulasi dan kontroversi terus menghantui dirinya, Fasha nampaknya telah membuat pendedahan tentang isi hatinya dan perkara sebenar menerusi laman web MySpace miliknya, semalam.
Buletin yang bertajuk 'luahan hatiku' yang ditulis oleh Fasha itu antara lain menjelaskan tentang hubungan sebenarnya dengan Rizal yang dipanggil dengan nama Jejai dan ekuin negara itu yang diakui oleh Fasha ialah Qabil Ambak.
Rizal lamar Fasha 3 Januari 2009
"Memang saya pernah berkawan rapat dengan Rizal Ashram (Jejai). Saya mengenali Jejai sejak tahun 2005 sebelum dia berkahwin dengan Nora Danish. Harus saya jelaskan disini,memang saya tidak pernah bercinta dengan Jejai ketika dia masih suami Nora Danish.
"Saya dan Jejai menjadi rapat sejak Januari tahun ini iaitu enam bulan setelah Nora Danish bercerai. Dia adalah teman rapat saya pada ketika itu. Kami selalu berjumpa dan dia adalah lelaki yang istimewa untuk saya pada ketika itu.
"Memang betul, Jejai pernah melamar saya. Dia melamar saya pada tanggal 3 Januari 2009. Saya beritahu Mama dan keluarga tentang perkara ni tapi mereka menentang. Saya yakin keluarga Jejai juga tentu tidak suka dengan hubungan ini kerana Jejai sudah punyai seorang anak hasil perkahwinan dengan Nora.
"Tetapi itu semua kisah lama, kami sudah tidak rapat seperti dulu lagi kerana Mama saya menghalang saya terlalu rapat dengan Jejai di atas macam-macam sebab. Saya menghormati permintaan ibu saya kerana saya terlalu sayangkan Mama saya," luahnya dalam laman web itu.
Menurut Fasha lagi, dia sedih apabila dia dikaitkan sebagai punca perceraian Nora dan Rizal kerana ramai yang tidak tahu cerita sebenar yang berlaku.
Kata Fasha lagi, setelah hubungan mereka dihalang keluarga, dia dan Rizal tetap berhubung antara satu sama lain.
"Saya dan Jejai terus berhubung sehinggalah pada tanggal 11 Februari, saya mengambil keputusan untuk tidak mahu meneruskan apa-apa hubungan dengan Jejai lagi kerana terlalu tertekan.
"Saya terlalu tertekan kerana saya dipersalahkan sedangkan orang tidak tahu perkara sebenar. Kami tidak berhubung selama hampir sebulan sehinggalah pada 7 Mac, Jejai menghubungi saya dan merayu-rayu supaya memaafkannya.
"Ketika itu saya berada di Pasir Gudang, Johor. Jejai terus menghantar SMS dan menghubungi saya setiap hari selepas itu walaupun saya tidak peduli dengan rayuannya.
"Pernah juga Jejai menunggu di hadapan rumah saya selama 4 jam untuk bercakap dengan saya. Jejai tetap mahu saya berkawan dengannya walaupun tidak jadi seperti dulu. Saya setuju setelah berminggu-minggu dia memujuk saya," catat Fasha lagi.
Ujar Fasha, dia dan Rizal tetap berkawan seperti biasa walaupun sudah tidak mempunyai hubungan istimewa ketika itu, namun tidak lagi berhubungan sejak 18 Ogos lalu.
"Di mata saya pada ketika itu, dia seorang lelaki yang baik, selalu mengambil berat tentang diri saya dan keluarga dan saya tahu dia perlukan saya dalam hidupnya sebagai seorang kawan.
"Walaupun ramai orang berprasangka yang tidak elok tentang dirinya, saya tetap berkawan dengan Jejai ketika itu. Pernah juga kami mencuba untuk kembali bersama selama beberapa kali tetapi gagal.
"Saya rasa masyarakat tidak harus menunding jari pada sesiapa tentang penceraian Jejai dan isterinya. Hanya mereka berdua yang tahu apa yang tidak kena pada rumahtangga mereka. Lagipun soal jodoh ditangan tuhan.
"Kesimpulan tentang hubungan saya dan Jejai, kami pernah menjalinkan hubungan istimewa sebelum ini,tetapi kami hanya berkawan selepas itu sehingga tarikh 18 Ogos 2009. Sekarang tidak berhubung lagi," katanya.
Fasha ambil pil tidur berlebihan, Qabil datang bantu di hospital
Tentang hubungannya dengan ekuin egara, Qabil Ambak, kata Fasha, dia mula mengenali jejaka itu pada Ogos tahun lalu di majlis gala makan malam anjuran Polo.
"Saya diperkenalkan oleh rakan saya yang bernama Faris. Faris yang menjemput saya ke majlis polo tersebut. Ketika pertama kali pertemuan kami, Jejai turut berada di sana.
"Saya ke majlis tersebut bersama kakak angkat saya iaitu Maria Farida. Selepas majlis tersebut, kami menjadi kawan dan berhubung melalui SMS. Dia sering bertanya khabar dan begitu juga saya. Saya pernah pergi ke rumah Qabil dan pernah berjumpa famili Qabil di rumah terbuka pada hari raya ke-3 tahun lepas," ujarnya.
Kata Fasha, hubungannya dengan Qabil semakin rapat selepas jejaka itu datang membantunya di Subang Jaya Medical Centre (SJMC) dan Pusat Pakar Damansara pada 12 Februari lalu.
"Saya terpaksa ditahan selama 2 hari di hospital kerana mengambil pil tidur berlebihan. Saya mengalami insomnia pada ketika itu kerana tekanan perasaan yang saya hadapi menyebabkan saya sukar untuk tidur.
"Qabil adalah sahabat yang paling rapat dengan saya pada waktu itu sehingga ke hari ini. Kami pernah membincangkan bermacam-macam topik tentang kehidupan.
"Dia seorang yang positif dan mengajar saya untuk menjadi seorang yang positif. Kami berhubung setiap hari sekarang walaupun jarang berjumpa. Dia juga baik dengan keluarga saya.
"Dia adalah lelaki yang rajin bekerja dan seorang pendengar yang baik. Dia juga sering memberi nasihat pada saya supaya menjadi seorang yang lebih baik. Semoga persahabatan kami berkekalan," katanya yang tidak mengulas lanjut tentang hubungannya dengan Qabil dalam buletin itu.
Empat kali dilamar
Dalam buletin yang ditulis Fasha di laman web tersebut, dia turut mengakui pernah dilamar empat kali untuk dijadikan isteri dan juga sudah empat kali menerima cincin.
Lamaran pertama yang dibuat terhadapnya ialah oleh pengacara popular, Ally Iskandar pada tahun 2007.
"Saya menolak secara baik walaupun Mama dan keluarga sukakan Ally. Saya menolak kerana saya hanya menganggap dia sebagai seorang abang. Dia terlalu baik untuk saya.
"Lamaran kedua adalah daripada seorang VVIP yang sangat dikenali dari Brunei pada pertengahan 2007. Saya menolak kerana saya langsung tidak mengenali VVIP tersebut. Dia seorang peminat (tak mungkin saya ingin berkahwin dengan orang yang saya langsung tidak kenal).
"Lamaran ketiga adalah daripada Jejai pada Januari 2009. Saya mengambil masa yang panjang untuk berfikir tentang perkara tersebut kerana terlalu banyak masalah yang akan saya hadapi sekiranya saya berkahwin dengan Jejai," ujarnya.
Dan untuk lamaran keempat pula, kata Fasha, datangnya pada pertengahan Mac lalu.
"Siapa lelaki itu? Siapa lelaki yang akan menjadi suami saya? Insyaallah,saya akan umumkan pada hujung tahun ni. Saya cuma minta agar diberikan sedikit masa diatas sebab-sebab tertentu.
"Saya hanya menunggu masa yang sesuai. Doakan agar tidak ada aral yang akan mengganggu hubungan kami. Bukan saya tidak mahu berterus terang sekarang, saya khuatir jika saya beritahu sekarang, perkara lain pula akan jadi.
"Lebih elok saya umumkan apabila masa yang sebenar sudah hampir tiba," katanya di laman