Polis mengesahkan suspek kes ini tiada kaitan dengan Safee dan suspek hanya mengenali pemain bola sepak itu sebagai pelanggan yang mendapatkan khidmat ubahsuai di kedai aksesorinya.
PETALING JAYA: Sepucuk pistol bersama 30 butir peluru hidup ditemui dalam kenderaan pemain bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Safee Sali.
Ketika kejadian, kenderaan Safee yang dipandu seorang pemilik kedai aksesori kenderaan pacuan empat roda (4WD) ditahan polis trafik ketika melalui sekatan jalan raya di susur keluar Kempas, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, kira-kira jam 12 tengah hari Ahad.
Menurut laporan BH Online, hasil pemeriksaan polis menemui sepucuk pistol disimpan dalam sebuah beg kuning di tempat duduk belakang Ford Ranger itu.
Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd mengesahkan suspek lelaki berusia 34 tahun dalam kes itu tiada kaitan dengan Safee.
Beliau berkata, Safee telah menghantar kenderaannya ke kedai aksesori suspek untuk diubah suai minggu lalu dan bercadang mengambil kenderaannya selepas perlawanan akhir Piala FA kelmarin.
“Suspek hanya mengenali pemain bola sepak itu sebagai pelanggan yang mendapatkan khidmat ubah suai di kedainya. Suspek itu kini ditahan reman untuk siasatan lanjut,” katanya kepada akhbar itu.
Sementara itu, China Press memetik suspek sebagai berkata, dia menjumpai pistol itu di kawasan pinggir bandar dan belum pernah menggunakan senjata api itu lagi.
Menurutnya, tujuan dia membawa pistol itu bersamanya ketika kejadian adalah untuk melindungi dirinya.